KLIK LA YE

May 6, 2013

Cerita Ibu dan Pilihanraya


Cerita ibu,
Dari belum lahirku
Pilihanraya sudah ada
Pilihanraya Pertama Tahun 1955
ibuku berusia 9 tahun tika itu
orang kita berjalan telanjang
tidak bersepatu
berkemeja tapi lusuh tiada warna
Tidak kira Melayu, Cina atau India
ibu kata kami sentiasa bersama.

Dulu,
Propaganda dan kempen
hanya tentang komunis dan penjajahan
Rakyat takut dan kecut.
Kini,
Propaganda dan kempen
tentang pembagunan dan kemajuan
Rakyat terhayal dengan seribu harapan.

Cerita ibu,
Pilihanraya selepas Merdeka
Rakyat bangga dengan kemerdekaan
Seminggu  orang kampung berpesta
Dihibur dengan perayaan dan kebudayaan.
Rakyat gembira tidak terhingga
Tidak perlu berebut makanan ketika kelaparan
Boleh bersuara tanpa halangan
kesan Kemerdekaan.

Pilihanraya 1969 lain pula cerita ibu
ibu genap 20 tahun tika itu
sudah matang dan waras dalam bicara
Pilihanraya tika itu umpama pesta
Pangung wayang padang saban minggu
Wayang di bandar meriah tidak terkira.

Merdekanya kita daripada jajahan
Kapal layar gah di sana sini
Kapal Layar itu Melayu dan UMNO
UMNO berlayar berkibar bangga
dan orang kampung bersorak tanda menyokong setia.

Kapal Layar UMNO kapal kita
berlayar jauh pimpinan nakhodanya
Mari bersatu padu kata UMNO
Kita adalah kita dan jangan biarkan mereka besar kepala
Mereka  adalah komunis
tiada hati memperlakukan kita seperti tidak punya hati
Rakyat bersyukur UMNO ada untuk kita.

Lagi cerita ibu,
Mari bersatu padu tidak kira bangsa apa
Agama berbeza bukan halangan utama
Bersatulah kita jangan biarkan mereka besar kepala
Kita tetap kita dan mereka akan gentar
Rakyat tiada salahnya
cuma yang berpolitik mula lupa diri
dan besar kepala.

Ibu terkenang
yang kini sudah hampir 56 tahun kita Merdeka
Yang kaya dan mewah adalah anak cucu dan cicit
mereka-mereka yang berpolitik
kotor atau bersih tidak rakyat ketahui
Orang Melayu lalai dengan suapan pelbagai hiburan
yang terus hidup dalam candu khayalan.

Orang Kampung pula masih sama
tidak banyak yang berubah
Walau gaji atau hasil kita beribu-ribu sebulan
Tetapi terpaksa membayar pelbagai cukai dan keperluan harian
Serupa seperti orang kampung tahun 60, 70 an
Yang pasrah hidup dalam ketakutan
untuk bersuara demi kebenaran.

Ibu kata,
Untuk bertukar politik membuat perubahan
adalah mimpi ngeri
Kerana bangsa Cina dan India punya agenda tersendri
Berubah kepimpinan ibarat seperti menjual maruah Melayu
yang terbela suci pada zaman dahulu
Di akhirnya, kita pasrah dan terus menerima
UMNO memerintah negara nan satu
kerana sayang dan cinta pada bangsa sendiri
Melayu yang suci.

Walaupun penipuan politik Melayu UMNO
yang mendakwa suci
Pada zaman ini sukar untuk dipercayai
Kita tetap akur dengan telunjuk politik
Walau dinoda rakus
BN, DAP, PKR dan PAS bersilih ganti.

Cuma satu harapan ibu
Siapa pun yang menyandang nama khalifah
Sucikan hati dan percaya pada Ilahi
semoga ada sinar pada masa hadapan
untuk anak dan cucu cicit kita nanti.

####

(Gambar Hiasan)

Ibu aku : Puan Salmah Binti Dahari 
Lahir di Tanah Melayu pada tahun 1949
Sudah berusia 64 tahun tika ini.

yang menulis : Aku 
5 MAY 2013
PRU13



Mita Ari