Aku dan keluarga baru sahaja menerima dugaan yang begitu berat untuk kami terima dalam hidup ini. Kami sekeluarga baru sahaja kehilangan insan yang amat kami cintai dan sayangi. Aku telah pon kehilagan seorang insan yang bergelar abang kepada aku dan adik. Jujur aku katakan, aku tidak cukup kuat untuk menerima dugaan sebesar ini tatkala hati ini belum bersedia untuk merasa kehilangan. Harini sudah masuk hari kelima Arwah abang kesayangan aku, Mohd Zawawi bin Mohd Isa meninggalkan kami sekeluarga di dunia ini.
Dan hari ini juga merupakan hari keempat kami mengadakan kenduri tahlil untuk arwah abang di surau berdekatan. Walaubagaimanapun, kami sekeluarga bersyukur Allah mengambil nyawa arwah daripada pinjamanNya kepada kami dalam keadaan tenang dan mudah di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Benar, kami sekeluarga redha dengan pemergian arwah walaupun ianya amat sukar untuk kami terima, tetapi kami masih memerlukan masa dan ruang untuk menerima dugaan daripada Allah swt yang maha hebat ini.
Sejujurnya tidak dapat aku gambarkan perasaan di hati ini dengan kehilangan arwah dalam hidup, amat payah untuk aku luahkan dengan kata-kata menyebabkan aku mengambil keputusan untuk meluahkan segala-galanya berkenaan arwah didalam blog usang ini. Hanya dengan melalui penulisan yang mampu memberi ketenagan dalam diri. Aku nekad karangkan bait-bait kata yang aku cantumkan susunan bahasanya agar menjadi indah seperti indahnya sebuah puisi. Puisi ini khas aku karangkan untuk arwah dengan penuh rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bagi terhadapnya.
Dan tidak aku sangka puisi yang aku karang khas untuk seorang sahabat beberapa hari sebelum arwah pergi meninggalkan kami, menyebabkan aku tersentap dan kembali berfikir, apakah berita kepergian abang kepada sahabat aku itu adalah petanda paling besar untuk aku? aku karangkan untuk Hasnul Asyraf puisi indah untuk mengurangkan rasa sedih dihati beliau kerana begitu sayu melihat kesedihan beliau diatas kehilangan seorang abang kandung. Tidak aku sangka perkara yang sama juga telah terjadi terhadap diri aku. Betapa aku ini tidak peka dengan segala petanda yang Allah turunkan satu persatu, terkilan sungguh rasa hati. Semoga penulisan dan puisi aku ini dapat memberi seribu ketenangan dalam diri insan-insan yang membacanya. InsyaAllah.
\
(aku, arwah dan adik.)
Khas untuk Arwah Mohd Zawawi bin Mohd Isa;
telah dijemput Ilahi pada 16 July 2013 bersamaan dengan 7 Ramadhan.
Untuk rasa rindu yang masih berbaki,
untuk rasa kasih yang masih menebal,
untuk rasa sayang yang semakin menggunung,
nekad aku paterikan nama kamu di hati.
Semilir angin menerpaku,
saat ku tatap wajahmu untuk akhir kalinya,
terputar kembali dalam benakku,
kenangan-kenangan kita dahulu.
Rasa sayu menyelubungi segenap ruang nafasku,
tatkala melihat air mata mengalir dari matamu yang lesu,
tika mendengar tiap-tiap bicaramu yang penuh sendu,
penuh empati aku menekuni bicaramu.
Tidak dapat aku kesankan sebarang kesangsian dalam diri,
tatkala tangan ini menggenggam erat tanganmu,
tatkala tangan ini menyuap makanan ke mulutmu,
dan juga ketika mata ini sayu melihat dirimu terlantar lesu di
pembaringan.
Jujur aku katakan,
Aku tidak dapat mencerna sebarang perubahan dalam dirimu,
bahawa semua ini akan hanya tinggal kenangan,
sehingga aku merasa kebahagian diragut tanpa puncanya.
Luluh sungguh rasa di hati,
mengenangkan diri mu yang telah pergi,
meninggalkan kesedihan dalam diri-diri,
tanpa rasa simpati terhadap kami,
yang tidak merelakan kepergian mu.
Walaupun dirimu tiada disisi kami,
aku tetap ingat segala kenangan dan pesananmu,
kerana aku nekad meneruskan hidup,
dengan punya rasa seolah-olah kau masih ada,
disisiku senantiasa.
Kuseru waktu dan ketika,
bawaku terbang tinggalkan kenangan,
dan hilangkan aku dari ingatan,
agar aku mampu kembali berdiri teguh tidak rapuh.
Untuk kau yang berkongsi darah,
yang tinggalkan aku tanpa sebarang nota,
aku pasrah,
aku doakan kau bahagia di alam sana,
tanpa resah mahupun derita,
Moga Syurga adalah janjiNya.
Pejam mata mu,
Tenang jiwa mu,
Syahid Jasad mu,
Lena dalam iman.
Coretan rasa dari hati;
Adik mu
Mita Ari
Mita Ari
20/7/2013.