Assalammualaikum.
Setelah sekian lama aku membenarkan
helaian kanvas visual di blog aku ini dipateri dengan bait-bait kata puisi yang
aku coretkan ikhlas lahir dari hati, kini aku ingin sekali mencoretkan sebuah
penulisan diari tentang seseorang yang pernah menjadi sebahagian hidup aku dan
keluarga.
Tanggal 16 Julai 2013 bersamaan dengan 7
Ramadhan yang lalu, aku dan keluarga telah menerima tamparan yang maha hebat
yang Allah telah turunkan untuk menguji kami sekeluarga. Abang kandung
kesayangan aku telah pergi meninggalkan aku dan keluarga untuk selama-lamanya.
Abang kesayangan aku dan keluarga telah meninggalkan dunia ini dan pergi
menghadap ilahi pada jam 7.55 a.m. di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala
Terengganu pada 7 Ramadhan bersamaan hari Selasa pada tahun ini.
Jujur aku mengaku, berat sungguh hati ini
untuk menerima pemergian abang kesayangan ini. Mungkin mudah bagi mereka yang
hanya melihat tanpa merasa bagaimanakah rasanya kehilangan, tapi berat lagi
bahu dan hati kami yang merasa keperitan ini. Hati ini sungguh sayu dan
sedih apabila mengenangkan arwah sudah pergi meninggalkan kami sekeluarga.
Arwah abang kami sekeluarga panggil dengan nama timangan "Abang
Awie". Abang awie sangat la manja dan lembut hatinya. Semasa
hayatnya aku tidak pasti sama ada bahagia atau tidak hati abang kesayangan aku
ini. Walaupun kami ini adik beradik, walaupun kami rapat sesama kami,
tapi Abang Awie seorang yang sangat perahsia. Perahsia perihal
segala-galanya. Amat sukar untuk arwah berbicara perihal diri kepada kami atau
sesiapa sahaja melainkan arwah benar-benar ingin berkongsi rasa atau cerita.
Semasa hayatnya, Abang Awie seorang yang sangat mesra dan kelakar, abang
sangat suka mengusik atau meyakat aku dan adik. memandangkan aku
mempunyai enam orang adik beradik, dan arwah merupakan anak yang keempat dalam
keluarga dimana arwah adalah abang sebelum aku dan adik. Jujur, Kami
memang Akrab!
Semasa hayatnya, arwah sangat manja
dengan emak, bermula dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa, arwah memang
manja. Semasa arwah menderita sakit, arwah sangatlah manja dan kadang-kadang
merengek seperti keanak-anakan. Jujur,
emak tidak pernah membezakan kasih sayang kepada kami. Cuma kemanjaan arwah
dengan emak agak melebih-lebih pada pandangan mata ini kerana pada perkiraan
aku, abang awie lebih memerlukan belaian manja daripada seorang ibu lebih
daripada kami semua kerana arwah sakit dan secara zahirnya, orang yang sakit
memang sentiasa ingin dibelai manja. Tambahan pula, semasa
arwah sakit, setiap kali arwah warded di hospital, arwah selalu minta kami
meneman dirinya di hospital. Arwah tidak boleh ditinggalkan keseorangan
kerana arwah seorang yang selalu mahu dibelai dan disayangi. Arwah seorang yang
sihat dan berbadan gempal, sangat mudah tersenyum dan tidak berkira.
Tetapi, segalanya bermula pada bulan
puasa tahun lepas dimana ianya masih segar dalam ingatan, arwah mula sakit
dada, sesak nafas dan sentiasa kepenatan. Arwah bukan lah seorang yang
berpenyakit walaupun arwah bertubuh gempal, untuk punya penyakit kronik jauh
sekali daripada pemikiran kami sekeluarga. Tapi arwah mula menunjukkan
dirinya kurang sehat semasa Ramadhan tahun lepas, dimana kami anggap ringan
akan perihal kesihatan arwah. Pada fikiran kami, mungkin sakit angin atau
gastrik akibat bulan puasa. Tetapi segalanya berubah pada Syawal tahun lepas,
pada hari raya ketiga, arwah dimasukkan ke Ward CCU di KPJ Ipoh. Arwah
mengalami masalah untuk bernafas yang agak teruk sehingga arwah ditahan dan
dipasangkan dengan wayar-wayar di seluruh tubuhnya dan arwah bernafas dengan
menggunakan bantuan pernafasan. Ya Allah sayu sungguh hati melihat
keadaan arwah tika itu.
Doktor di KPJ mengesahkan arwah mempunyai
masalah jantung dimana jantungnya tidak boleh berfungsi dengan baik, dan tambah
menyedihkan kami lagi, arwah juga telah disahkan mempunyai masalah pada hati
dan paru-paru. Semasa arwah ditahan di KPJ Ipoh, Doktor yang merawat arwah
sudah pun mengingatkan kami sekeluarga untuk "be prepare for the
worst". Hanya Allah yang tahu betapa sayu dan sedihnya hati
ini tatkala menerima berita bahawa arwah mungkin tidak mampu untuk teruskan
hidup dalam jangkamasa yang lama. Tapi kami sekeluarga tidak putus
harapan, kami yakin Allah itu maha kaya dan akan terus membantu hambanya yang
memerlukan bantuan.
Bermulalah proses kami sekeluarga bagi
mencari penawar dalam menyembuhkan penyakit abang kesayangan kami ini. Bermula
di KPJ arwah kami usahakan bagi mendapat rawatan, seterusnya arwah ditempatkan
pula di Institut Jantung Negara dalam tempoh yang agak lama bagi meneruskan
sisa rawatan. Disamping itu, berhempas pulas juga kami sekeluarga terutamanya
kakak aku yang sulung ke sana kemari mencari penawar daripada perubatan
Alternatif. Namakan saja pusat perubatan Islam yang ada di negara kita,
semua kami cuba bagi mendapatkan rawatan. Dari Darul Syifa' yang gah
sehinggalah ke Terapi Ruqyah yang ada di sekitar Kuala Lumpur. Semua kami
ikrarkan, semata-mata untuk mengurangkan beban penyakit yang arwah alami.
Sungguh, arwah menderita dengan sakit yang dialaminya selama setahun
sebelum arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Amat Sukar bagi arwah
sendiri, pelbagai dugaan yang arwah alami selama arwah sakit. Tidak dapat
aku gambarkan keperitan yang arwah alami, amat payah untuk aku coretkan
bait-bait kata yang mampu menggambarkan kesengsaraan yang arwah deritakan
semasa hayatnya.
Lebih kurang setahun arwah menderita
sakit, keluar masuk hospital sudah menjadi rutin dalam hidup arwah. Untuk
melihat arwah gembira amat payah dalam masa setahun ini. Aku tahu arwah sakit,
walhal aku dan keluarga sentiasa cuba berada di samping arwah. cuma
kadang-kadang, semasa tempoh arwah sakit, perasan "give up" dan
"rimas" dengan perangai arwah yang agak manja itu membuatkan aku
bosan dan kadangkala menyampah. bukan aku tidak prihatin, tetapi aku
selalu tegas dalam kata tiap kali aku utarakan nasihat kepada arwah. Aku marah
dalam kata kerana aku sangat risaukan arwah tika itu. Tiap kali arwah
merengek "Kesakitan", pada permulaanya, aku cuba untuk
berlembut dalam berbicara bagi mengurangkan kesakitan yang arwah alami, aku
cuba untuk memahami keadaan arwah tika itu, Sumpah! aku memang tidak sanggup
melihat arwah sakit, Sumpah! Aku tidak mampu melihat beban yang arwah pikul.
Tapi tiap hati yang bersabar, pasti punya rasa amarah. Lama-kelamaan,
apabila arwah asyik mengulang kata perkara yang sama bahawa arwah sakit dan
merengek kesakitan mula menambahkan rasa amarah dalam diri ini. Sebagai
adik, walau amarah itu menular dalam diri, aku tetap hormat arwah sebagai
abang, cuma semasa hayat arwah dimana arwah sedang sakit teruk dan telah
ditempatkan di ward HDU IJN Kuala Lumpur, pernah aku katakan kepada arwah dalam
keadaan yang agak kasar dan cuba menahan amarah, aku lontarkan kata-kata ini
daripada mulut aku yang menahan marah dan resah di hati;
"kalau abang awie asyik merengek
cakap sakit, sakit, sakit, macam mana nak sembuh? abang awie cuba lah kuat
semangat, be positive, rajin solat dan mohon pada Allah untuk kurangkan beban
yang abang awie tanggung sekarang, kalau bukan abang awie yang nak tolong diri
sendiri, macam mana kitorang nak tolong abang awie? Bila abang awie sakit macam
ni, abang awie menyusahkan semua orang tahu tak? Abang awie buat emak, kitorang
semua susah hati, abang awie ingat kitorang semua suka tengok abang awie
sakit?".
Masih segar dalam ingatan bait kata
yang penuh geram aku lontarkan pada sekujur tubuh yang sedang lesu sakit di
pembaringannya ketika itu. Tatkala teringat akan kenangan lalu, aku rasakan aku
sungguh kejam pada arwah. Aku sebagai seorang adik seharusnya cuba
memahami arwah dan sentiasa bersama dengan arwah semasa sisa-sisa akhir
hayatnya, tetapi aku gagal!
Sumpah aku tidak pernah dapat membaca
petanda yang Allah turunkan kepada kami sekeluarga. Aku terlalu ambil
mudah dengan semua perkara, jujur aku akui, penyesalan di hati kian bertambah
dari hari ke hari. Menyesal hati ini tatkala terkenangkan selama arwah hidup,
aku belum punya kesempatan membalas jasa arwah sebagai abang yang cukup baik
kepada aku dan adik. Walaupun kehidupan abang awie bukanlah begitu
senang semasa hayatnya, tetapi arwah tidak pernah berkira dengan kami
sekeluarga. Arwah sebenarnya baru lagi bekerja sebagai seorang kakitangan
kerajaan, arwah baru dua tahun bekerja government di Terengganu, dan baru dua
tahun arwah lega dengan hidupnya mungkin, kerana sebelum ini arwah kerap
bertukar kerja kerana bekerja swasta dan seperti yang semua maklum bekerja
swasta sedikit payah dan tiada jaminan. Aku ingat lagi arwah memang gembira
apabila mendapat kerja kerajaan, dan kehidupan arwah menjadi lebih stabil pada
perkiraan aku. Cuma, apa yang arwah rancangkan untuk hayatnya tidak
bertahan untuk tempoh yang panjang, arwah pergi meninggalkan kami dalam keadaan
yang sungguh memilukan.
Arwah menghembuskan nafasnya yang
terakhir tanpa adanya kami sekeluarga di sisi. Sedih dan penuh sesalan hati ini
apabila mengenangkan arwah menderita sakit keseorang pada penghujung hayatnya.
Arwah sebenarnya kami jangka sudah hampir sihat 3 minggu lalu. Pada
pemerhatian kami, arwah sudah hampir sembuh kerana arwah sudah dibenarkan untuk
pulang ke rumah dan discharged daripada IJN, dan doktor juga telah membenarkan
arwah kembali bekerja semula memandangkan cuti sakit arwah tidak dapat
disambung. Pada permulaan, agak payah juga kami mahu membenarkan arwah untuk
kembali bekerja memandangkan arwah berkhidmat nun jauh di Terengganu, dan kami
sekeluarga pula tinggal di Perak. Tetapi, arwah ketika itu begitu cekal
dan menunjukkan perubahan yang positif dimana kami percaya arwah sudah semakin
sihat, jadi kami sekeluarga nekad menghantar arwah ke Terengganu bagi memulakan
kerjanya kembali. Kakak sulung dan adik aku serta anak buah aku yang sulung
yang pergi menghantar arwah abag awie ke Terengganu untuk kembali bertugas
semula, memandangkan aku sedang menghadapi peperiksaan akhir ketika itu.
Jujur aku akui, aku sangat mahu menemani
kakak dan adik aku pergi menghantar arwah ke Terengganu, tapi kekangan jadual
peperiksaan akhir menjadi halangan. Aku agak sedih kerana tidak dapat turut
serta ke Terengganu, dan aku sungguh terkilan kerana beberapa hari sebelum
arwah kembali ke Terengganu, aku sungguh sebuk dengan persiapan bagi menghadapi
peperiksaan akhir sehinggakan aku tidak sempat untuk berjumpa atau contact
dengan arwah untuk yang terakhir kalinya. Sedangkan semasa arwah sudah
dibenarkan pulang daripada hospital, aku dan adik yang pergi menjemput arwah
pulang dari hospital pada hari terakhir arwah berada di IJN, dan memang tidak
pernah terlintas pada fikiran bahawa itulah kali terakhir aku berjumpa dan
bersalam dengan arwah sebelum aku kembali pulang ke UiTM Shah Alam bagi
menghadapi peperiksaan akhir. Jadi pada pemerhatian aku ketika itu, aku sungguh
bersyukur kerana arwah memang kelihatan sudah beransur pulih. Kerana pada
perkiraan aku, arwah memang benar kelihatan begitu sihat dan aku yakin yang aku
akan berjumpa dengan arwah lagi, dan yang paling mengecewakan, hati aku
berdetik dengan yakinnya tika itu "takpe, bulan puasa dan raya
nanti mesti jumpa abang awie punya". Yakin sungguh hati aku tika
itu, tetapi Allah lebih mengetahui segalanya dan kita sebagai hamba hanya mampu
merancang, Allah swt jualah yang menentukan segala-galanya. Aku tidak sempat
untuk bersama arwah untuk kali terakhirnya...........................